Monday 20 June 2016

FUNDAMENTAL?? Apa itu Fundamental? Penting ke? Baca jika anda ingin mengetahuinya..



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua..
Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua berkenaan FUNDAMENTAL.. Jadi sila lakukan senaman ringkas seperti jogging setempat untuk menjana kecergasan minda sebelum meneruskan membaca (gurau-gurau je, jangan marah haa).. So apa benda FUNDAMENTAL ni?

FUNDAMENTAL ni adalah perkara asas mengenai MARKET Forex itu sendiri, segala apa yang menyebabkan pergerakkan harga itu terjadi baik dari segi pengeluaran data-data ekonomi sesebuah negara, bencana alam, geopolitik, pesanan komersial, dasar kewangan bank pusat dan lain-lain lagi. Jadi adakah ianya penting buat trader untuk mengetahuinya? Bagi saya jawapannya adalah YA, kerana kita sebagai trader pasti tertanya-tanya apakah yang menyebabkan harga tersebut bergerak malah kadang-kadang sehingga terlalu mendadak dan boleh mencederakan akaun kita.

Saya ambil contoh seperti tukaran diantara USD/MYR, masih ingatkah lagi anda pada isu 1MDB tempoh hari? Ianya telah menyebabkan nilai tukaran matawang diantara US Dollar kepada Ringgit Malaysia menjadi tinggi, sehingga tersebarnya khabar angin bahawa nilai tukaran tersebut mampu mencecah RM5 kepada hanya 1USD. Isu-isu seperti ini dimana ianya melibatkan pegawai tertinggi didalam sesebuah negara dan keadaan geopolitik juga mampu mempengaruhi akan pergerakkan nilai tukaran itu.

Seperti mana hari ini kita dapat saksikannya pada matawang GBP apabila isu UK kekal/keluar dari Kesatuan Eropah. Dan apa yang menarik, ianya tidak hanya tertumpu kepada matawang GBP sahaja. Matawang lain juga turut terkesan dari isu ini seperti contoh EURO, JPY, CHF dan juga komoditi seperti GOLD. Mengapa matawang dan komoditi lain juga turut terkesan? Salah satunya adalah kerana Safe Haven Flow terhasil, keadaan dimana pelabur-pelabur besar mengalihkan dana dan juga modal mereka kepada instrumen yang lebih stabil dan selamat. Selain itu, bagi matawang EURO ianya dilihat sebagai "Funding Currency" kerana faktor kadar faedahnya yang rendah oleh para pelabur.

Begitu juga dengan dasar kewangan yang dikeluarkan oleh bank-bank pusat, ianya menunjukkan halatuju sesuatu matawang itu sama ada nilainya akan makin meningkat atau makin berkurangan. Akan tetapi perlu anda ketahui, bahawa penurunan atau kenaikan bukanlah sasaran atau tujuan utama bank-bank pusat ini mengeluarkan dasar kewangan mereka. Sebaliknya sasaran mereka adalah lebih tertumpu kepada mengawal inflasi bagi kestabilan ekonomi. Mengawal lambakan kewangan didalam ekonomi mereka. Dan kesan dari itu lah yang menyebabkan turun atau naiknya nilai matawang tersebut.

Jadi masihkah anda merasakan bahawa FUNDAMENTAL ini tidak perlu dipelajari? FUNDAMENTAL ini mempunyai skop yang sangat luas dan ianya juga akan sentiasa ada pembaharuan yang menjadikan MARKET Forex ini Dinamik. Tidaklah perlu anda tahu kesemuanya untuk permulaan, cari cara dan jalan yang bersesuaian dengan pemahaman masing-masing. Tiada jalan pintas jika anda ingin belajar apatah lagi jika ingin berada dalam dunia Forex ini secara serius. Tidak akan sampai ke destinasi nun beribu batu jika tidak dimulakan dengan langkah yang pertama. Saya berharap perkongsian saya yang tidak seberapa ini dapat mencetus dan membakar semangat anda untuk lebih berjaya didalam bidang ini. Semoga kecekalan dan kekentalan anda semua berkekalan sehingga jayanya. Sekian sajalah artikel saya ini, semoga kita bertemu lagi di artikel yang lain.


Ceecakman
SFA's Currency Analyst

No comments:

Post a Comment